Boikot Barangan DAP
Friday, 20 June 2014
NORA DANISH DIGANGGU MAKHLUK MISTERI !!
NAMA Eyra Rahman sebelum ini sudah cukup terkenal menerusi karya-karya romantis seperti Aku Terima Nikah, Dua Kalimah, Awak Nak Kahwin Dengan Saya? dan beberapa filem lain lagi.
Namun buat pertama kalinya, Eyra lari dari zon selesa dengan mengarahkan filem yang penuh debaran dan kejutan berjudul Pengantin Malam.
Mengekalkan dua teraju utama yang sebelum ini pernah digandingkan dalam filem arahannya iaitu Becinta, Eyra berjaya mencipta satu kelainan menerusi filem terbitan ke 93 dari MIG ini.
Filem ini mengisahkan Maya (Nora Danish) yang mengalami amnesia selepas kemalangan jalan raya. Sejak dari hari itu , Maya sering diganggu lembaga misteri sehingga suami Maya, Razif (Farid Kamil) terpaksa membawa Maya berehat di vila keluarga Razif.
Namun gangguan itu tidak berhenti malah semakin teruk hinggakan Maya tidak dapat mengawal perasaannya. Pelbagai ikhtiar telah dilakukan oleh Razif yang tidak percaya gangguan yang terjadi pada Maya adalah benar sehinggakan hubungan semakin renggang.
Villa yang mereka diami itu juga memberi pelbagai persoalan terhadap Maya kerana vila tersebut turut didiami seorang tukang kebun.
Perlakuan pelik Maya mendapat reaksi berbeza tukang kebun itu malahan sikap Maya yang semakin hari semakin pelik itu membuatkan Razif mencari seorang doktor pakar untuk mengubati penyakit yang dialami.
Penuh kejutan!
Cemas, seram dan penuh kejutan. Itulah perkataan yang paling tepat untuk penulis simpulkan mengenai filem seram pertama karya Eyra Abdul Rahman.
Biarpun menampilkan jalan cerita yang mudah difahami, namun susunan plot yang cukup menarik menjadi antara penarik utama untuk penonton menyaksikan filem ke-93 terbitan MIG ini.
Diilhamkan daripada filem seram Hollywood seperti Exorcist dan Paranormal Activity, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Nora Danish, Nina Iskandar, dan Elly Suriati.
Apa yang menarik mengenai filem ini adalah penampilan hantu yang berlainan daripada filem seram sedia ada.
Tanpa perlu solekan yang menjijikkan atau rambut putih dan menggerbang, Pengantin Malam tetap tampil menakutkan dengan hantu yang lebih realistik.
Bukan itu sahaja, penggunaan lagu-lagu yang lebih seram dan kesan bunyi yang cukup mengagumkan menjadi antara punca ada penonton yang menjerit terlebih dahulu sebelum hantu muncul di dalam filem ini.
Bahkan bagi anda yang mungkin tidak tahu, untuk menambahkan 'mood' keseraman di dalam filem ini, Eyra turut memilih rumah yang dipercayai memang ‘berhantu’ di Kuang, untuk penggambaran filem ini.
Bersatu sekali lagi
Selain itu, lakonan berkesan Nora sebagai Maya banyak membantu mencantikkan lagi filem ini dengan penghayatan yang cukup berkesan.
Pastinya penonton akan tertanya-tanya mengapa hantu tersebut memburu Maya tidak mengira waktu. Kemudian, ketakutan melampau Maya juga akan membuatkan penonton merasa simpati, namun masih tersisa rasa ketakutan setiap kali melihat Maya.
Mengulas lanjut mengenai pembabitannya dalam filem tersebut, Farid yang memegang watak sebagai Razif berpendapat Pengantin Malam memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik penonton.
“Kali pertama ditawarkan watak ini, perkara pertama yang bermain di fikiran saya adakah ia sebuah cerita seram yang klise. Tapi bila sudah terlibat dengan penggambaran, saya mulai rasa pendekatan berbeza yang diketengahkan dalam filem ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu berkongsi pengalaman menjalani penggambaran filem tersebut, Nora menafikan terdapat sebarang gangguan sepanjang dia terlibat dengan penggambaran di lokasi.
“Alhamdulillah, beberapa kali terlibat cerita seram, saya belum pernah terkena gangguan. Untuk penggambaran kali ini, semua kru termasuk pengarah dan pelakon solat berjemaah setiap waktu sebagai perlindungan,” jelasnya.- Sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment