Mengibaratkan DAP seperti perempuan, Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindak-tanduk DAP sejak kebelakangan ini yang sering berdolak-dalih dilihat seolah-olah tidak yakin mahu berpisah dengan Pas.
“Kalut sungguh DAP ni.. naik hairan saya. Sekali nampak macam yakin dan berani benar, tapi asyik tekan Pas supaya putus hubungan dengan dia. Macam tak yakin pula nak lafaz cerai terhadap Pas.

“Saya jadi perasan DAP ni perempuan, Pas jantan la pula. Perempuan tidak sah lafaz cerai. Itu duk minta fasakh tu..,” katanya dalam status laman sosial Facebook miliknya.

Perbalahan antara dua parti pembangkang berkenaan dilihat memuncak apabila DAP secara berterusan melakukan provokasi kepada kepemimpinan baharu Pas termasuk mendesak wakil parti itu di Pulau Pinang meletak jawatan dalam kerajaan negeri.

Provokasi DAP itu adalah sebagai reaksi terhadap tindakan Dewan Ulama Pas yang sebulat suara meluluskan usul tergempar tanpa bahas iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, namun mahu meneruskan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang pada Muktamar Tahunan Ke-61, minggu lalu.
Mengulas lanjut, Nik Abduh mencabar DAP supaya menunjukkan ‘kejantanan’ dengan membuat keputusan memutuskan terus hubungan dengan Pas.
“Come on la DAP.. jadilah jantan juga. Pilih, be gentleman, cool macam Pas atau berterus terang je.. tolak Pas,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu meminta DAP supaya tidak melakukan perbuatan tidak senonoh dengan cara melarikan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang digambarkan seperti anak dara.

“Jangan buat perangai tak manis, kahwin bawa lari anak dara orang.. Tak pasal-pasal si anak dara atau Pasma tu kena kutuk,” katanya.- Sumber