TELUK INTAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berbincang dengan penasihat undang-undangnya bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana calon yang berkempen awal sebelum hari penamaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, esok. 

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata mana-mana pihak yang memulakan kempen sebelum hari penamaan calon boleh dikenakan tindakan.  "Kempen pilihan raya hanya dibenarkan selepas proses penamaan calon iaitu esok dan mana-mana calon yang mengadakannya boleh diambil tindakan. 


"Kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada bakal calon," katanya pada sidang media selepas melawat persiapan tempat penamaan calon PRK Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, di sini, sebentar tadi. 

Abdul Ghani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen awal yang dilakukan calon DAP bagi PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, semalam. 

Berdasarkan undang-undang, mana-mana pihak yang memulakan kempen sebelum hari penamaan calon boleh dikenakan tindakan oleh pihak polis dan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. 

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, SPR memperuntukkan sebanyak 420 botol dakwat kekal bagi pengundian PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini. - Bernama
Ceramah Awal di Pentas PAS..