TUMPAT - Dalam kesibukan berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat menangkap seekor ular sawa di Kampung Raja, Pantai Geting di sini.

Ular sawa sepanjang lebih tiga meter itu sedang menyusur dalam sebuah kedai makan ketika Abdul Rahman mengadakan sidang media dan ia disedari seorang pegawai jabatan bomba yang ternampak kelibat ular itu dalam semak berhampiran.

Turut menyertai Abdul Rahman ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman.

Abdul Rahman dan Azmi bergegas meninggalkan sidang akhbar berkenaan untuk menyertai beberapa anggota Bomba dan Penyelamat menangkap ular sawa itu di kawasan semak kira-kira 10 meter dari kedai makan itu.

Ular sawa itu akhirnya ditangkap 10 minit selepas itu oleh beberapa anggota bomba dan tanpa rasa takut, Abdul Rahman turut memegang kepala ular sawa itu.

Seorang penduduk, Wan Ali Wan Stapa, 57, berkata, insiden tidak disangka itu akan diingatinya kerana ia merupakan kali pertama melihat seorang menteri bersama-sama menangkap ular.

"Bukan senang nak tengok menteri tangkap ular ni. Kalau bomba tu memang biasalah," katanya.

Seorang lagi penduduk Saadiah Awang, 50, mengakui keberanian Abdul Rahman itu dan berkata: "Berani weh menteri ruponyo tangkap ular. Kito pun gerun tengok."

Abdul Rahman kemudiannya terus menyambung kembali sidang akhbar yang tertangguh itu manakala ular sawa berkenaan dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). - Bernama