Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, keputusan tersebut dicapai melalui satu mesyuarat khas di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Kata beliau, UMNO Kedah turut meminta agar Mukhriz tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu berkenaan pada 24 April ini.
“UMNO Kedah menyokong penuh tanpa belah bahagi terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai Menteri Besar yang diberi kepercayaan oleh beliau.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya Menteri Besar tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini kerana kami memahami situasi beliau dalam perkara ini.
“Atas keputusan bersama dalam mesyuarat khas UMNO Kedah ini kita setuju membatalkan mesyuarat yang bakal diadakan pada 24 April ini di Kuala Lumpur,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan.
Selain itu, menurut Ahmad Bashah, tidak berlaku perpecahan dalam parti baik dalam sokongan terhadap Perdana Menteri mahupun Mukhriz seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

“Apa yang disuarakan oleh pihak tertentu agar Menteri Besar meletakkan jawatan jika gagal menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri adalah pendapat peribadinya sahaja, bukan mewakili UMNO Kedah,” jelasnya.
Mesyuarat khas tersebut berlangsung kira-kira dua jam di kediaman rasmi Menteri Besar berkenaan dengan kehadiran Mukhriz serta hampir kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) kecuali ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Mesyuarat turut dihadiri oleh semua Ketua UMNO bahagian kecuali Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) dan Datuk Mohd. Johari Baharom (Kubang Pasu).