Aku tidak bermaksud DS Najib kena turun. Aku nampak Najib masih berupaya memimpin parti dan kerajaan. Aku juga tidak bermaksud Tan Seri Muhyiddin tidak mampu menjadi Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri.
Pada aku mereka adalah gandingan yang mantap dan tulus. Masing masing berada di atas tapak yang jelas berbanding semasa Anwar Ibrahim menjadi Timbalan kepada Tun Mahathir. Bahkan Anwar pernah dikatakan lebih PM daripada PM.
Cuma aku percaya kepada ' latihan dan pembentukan karektor'. Pemimpin mesti dilatih dan dipersiapkan. Pemimpin kena ada kesedaran bahawa satu hari dia akan jadi pemimpin. Ini kaedah yang dibawa oleh Rasulullah.
Walaupun tidak menamakan satu persatu penggantinya, namun umat Islam tahu siapa yang Rasulullah yakini untuk memimpin umat Islam. Inilah yang aku cuba nak katakan.
UMNO mempunyai ramai tokoh yang mempunyai kebolehan. Sebagai parti yang dominan dan lama , UMNO sentiasa merupakan makmal yang membina dan membangunkan pemimpin.
Tetapi jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO hanya satu. Maka kita wajib menentukan siapakah Perdana Menteri dan Presiden UMNO selepas ini.
Aku nampak salah seorang tokoh yang boleh kita persiapkan ialah Hishamuddin Hussein. Beliau lama dalam UMNO dan lama juga dalam kerajaan. Untuk orang yang seusia dengannya ( 52 tahun ), Hishamuddin paling lama dalam kerajaan dan parti.
Hishamuddin antara pemimpin yang dilihat sederhana. Tidak ada tindakannya yang boleh menyebabkan beliau ' terpaksa diketepikan '. Beliau tidak kelihatan ultra Melayu atau kelihatan terlalu terbuka.
Hishamuddin tidak pernah terpalit dengan sebarang ' isu peribadi '. Tidak ada sebarang berita buruk tentang ahli keluarganya. Umum menyedari Hishamuddin dikatakan ' agak mengawal ' anak anaknya. Dan barangkali itu antara faktor mengapa beliau mendapat cucu dalam usia agak muda.
Benar, Hishamuddin pernah ditohmah dengan pelbagai tohmahan. Namun aku percaya sebahagian daripada tohmahan itu adalah kesan perasaan dikhianati orang Melayu dalam PRU 12. Hishamuddin menanggung tempiasnya. Kemudian keadaan menjadi lebih parah apabila berlaku pemilihan dalam parti.
Ini semua boleh diperbetulkan jika kita berikan beliau ruang. Bahkan pembetulan telah beliau lakukan melalui tindakan cemerlang dalam kes Lahat Datu dan bagaimana beliau menjaga kebajikan anggota tentera serta kaum keluarga mereka.
Aku nampak ada dua kehebatan yang Hishamuddin berjaya tampilkan dalam beberapa ketika kebelakangan ini. Transformasi dalam UMNO dan penglibatan angkatan tentera dalam membantu mangsa banjir di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan baru baru ini.
Hishamuddin manusia biasa dan aku akui beliau tidak sempurna. Namun aku percaya jika ahli UMNO berpakat, berikan sokongan, berikan teguran, insyaallah Hishamuddin akan muncul sebagai pemimpin besar. Beliau telah banyak diuji dan hakikatnya beliau berjaya melepasi ujian walaupun kita sendiri kadang kala berasa semacam sebahagian daripada ujian itu amat berat untuk didepani.













