Kalau satu masa DAP, PAS dan PKR begitu ri'a dengan Dyana Sofya yang amat ' akrab ' dengan Lim Kit Siang, hari ini di pentas UMNO tampil seoprang bakal doktor membahaskan usul. Cukup terampil, yakin dan berwibawa. Aku rasa kalau UMNO tak gila menghalang bakat bertunas, Dyana Sofya bukan apa apa sebenarnya...
KUALA LUMPUR, 28 Nov - Kepetahan dan kebijaksaan Nur Farhana Mohd Anuar ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2014, yang memasuki hari kedua hari ini, "menambat hati" Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Penuntut tahun kelima First Moscow State Medical University, Rusia, itu 'mencuri' hati Badruddin apabila menyelitkan bahasa Rusia dalam perbahasannya dan setiap kali itu juga terpaksa mengucapkan 'mohon izin pengerusi' selepas diingatkan beberapa kali bahawa perbahasan mestilah dalam bahasa Melayu.
Badruddin juga beberapa kali mengajukan perkataan tertentu kepada Nur Farhana untuk mengetahui maksudnya dalam bahasa Rusia dan bila cuba menyebutnya, seluruh hadirin di dalam dewan tertawa kerana sebutan dan bunyi Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan itu kedengaran pelik serta melucukan.
Dalam perbahasannya selama 15 minit, Nur Farhana dengan lantang berkata Umno tidak boleh berbangga dengan jumlah anggota yang ramai iaitu 3.47 juta orang kerana belum tentu semua anggota itu adalah 'orang Umno'.
"Anggota Umno sepatutnya menjadi 'orang Umno' yang akan berjuang demi bangsa, agama dan negara," katanya ketika berucap di hadapan perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Wakil Kelab Umno Luar Negara Moscow itu menarik perhatian apabila menyatakan program anjuran Umno terlalu 'syok sendiri', stereotaip, kurang mesra golongan muda, tidak strategik kerana kebanyakannya dianjurkan semata-mata untuk memenuhi tuntutan program tahunan.
"Ramai mahasiswa muda mempunyai persepsi bahawa Umno tidak mempunyai idea yang segar dan tiada idea baharu, matlamat serta perjuangan parti juga semakin pudar," katanya.
Selesai sahaja perbahasan gadis itu, Badruddin memuji Nur Farhana yang menurutnya berucap dengan penuh beradat serta beradab dan mahu jurucakap yang lain mencontohinya.
"(Nur Farhana) memang terror (hebat)... tak rugi mai (datang) walaupun belajar di Rusia tapi mampu bercakap bahasa Melayu dengan fasih.
"Itulah perjuangan dan mereka inilah pelapis akan datang," katanya dan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Nur Farhana berkata bagi mendekatkan orang muda dengan Umno dan meremajakan parti keramat orang Melayu itu, Umno perlu mengadakan program bersifat interaktif, termasuk menggunakan media sosial, selaras dengan 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital yang ditekankan Umno.
Beliau turut mencadangkan agar laman web Umno dan kerajaan direka dengan ringkas supaya mudah diakses walaupun sekadar menggunakan telefon bimbit manakala semua dasar diterangkan menggunakan grafik supaya anak muda dapat memahaminya dengan mudah.
UMNO mahukan pemimpin yang senang mereka dampingi. Baik budi pekerti dan hormat akar umbi. Orang UMNO tak ghairah dengan upahan tapi mahukan penghormatan.
ReplyDelete