Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha itu selari dalam usaha meletakkan pimpinan muda menghadapi landskap ancaman dan cabaran baharu yang mampu mengganggu-gugat perpaduan dan keamanan negara.

“Kita sekarang berhadapan dengan dunia yang penuh dengan peperangan, pembunuhan, perpecahan, kebencian, kerakusan dan keegoan, maka adalah amat penting untuk kita memikirkan kaedah baharu untuk mempertahankan kekuatan perpaduan dalam kaum yang pelbagai.

“Perpaduan dan keamanan yang kita capai selama ini tidak datang bergolek, sebab itu kita kena prihatin sekali gus tidak membenarkan isu semasa, cabaran serta ancaman mendatang menjejaskan apa yang telah diwarisi kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Perjumpaan dan Kempen Keamanan dan Perpaduan di UPNM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Sementara itu, mengulas kenya­taan kontroversi Duta China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang berhubung ‘amaran’ agar tidak mengganggu-gugat peniaga-peniaga Cina yang mendominasi Jalan Petaling baru-baru ini, Hishammuddin berkata, insiden berkenaan tidak akan menjejaskan hubungan bilateral yang terjalin.

“Saya percaya ia tidak terlalu serius dan akan menjejaskan hubungan diplomatik mahupun pertahanan di antara dua negara ini. Saya percaya hubungan China dan Malaysia kukuh, utuh dan baik selama mana ia terjalin.
“Kalau kamu kata ia memberikan kesan, bergantung dalam konteks apa, melainkan ada orang yang ingin menjejaskan hubungan dua hala antara China dan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Wisma Putra akan menyelesaikan masalah berkenaan melalui saluran diplomatik dengan mengadakan perjumpaan dengan Kedutaan China.UM