KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diminta untuk turut menyiasat kewujudan entiti pelaburan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang mencetuskan kontroversi di Selangor.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia perlu dilakukan bagi memberi keadilan kepada Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Biar adil dalam nak mencari kebenaran dalam isu semasa, adil kepada Umno dan Datuk Seri Najib, jangan hanya melihat pada parti kita dan pemimpin kita sahaja, kalau mahu siasat, siasat semualah, atas dasar prinsip.

“Kalau mahu bincang fasal pembiayaan politik, biar kita juga tengok kedudukan parti pembangkang,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Bharu kali ke-21, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: NGO mahu SPRM siasat penubuhan DEIG]

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menegur kewujudan entiti pelaburan DEIG yang mencetuskan kontroversi melibatkan dakwaan penguasaan aset bernilai RM30 bilion yang selama ini dimiliki dan diuruskan oleh syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Menurutnya, pembangkang juga perlu bersikap telus dan ikhlas dan menunjukkan yang mereka juga tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada rakyat.

Beliau berkata, rakyat perlu tahu apa yang berlaku kerana pendekatan yang sama perlu diambil oleh pihak SPRM dan PAC jika dakwaan mengenai kontroversi wang RM30 bilion tersebut benar-benar berlaku.

“Jika betul hendak menyatakan bahawa apa yang kita lakukan sebelum ini itu berhubung kait dengan ‘political funding’, tunjuk undang-undang mana yang kita salah.  Contohnya, sekarang ini yang terbaru berlaku di Selangor, saya rasa penting juga untuk rakyat di luar sana melihat bahawa tindakan dan pendekatan yang sama turut diambil,” katanya.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata, DEIG ditubuhkan untuk memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Beliau berkata entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI itu juga dibangunkan bagi mengurangkan impak serta risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.

Namun penubuhan entiti tersebut turut menimbulkan kontroversi apabila sebuah portal melaporkan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang sebelum ini diuruskan MBI dipercayai diletakkan di bawah DEIG yang merupakan sebuah syarikat pengurusan risiko pelaburan bernilai RM2
.- SH